Sunday, 18 September 2016

5 Fungsi Lain 'Mouthwash' Untuk Kecantikan

Jika anda seorang yang suka berkumur dengan mouthwash seperti Listerine, Colgate Plax, atau apa saja ubat kumur di pasaran maka untunglah kerana ia bukan sekadar boleh digunakan untuk mengatasi bau mulut, tetapi lebih daripada itu.

Ubat kumur yang biasa kita gunakan itu bukan saja bertindak untuk menghapuskan bakteria dalam mulut dan memberi nafas segar. Anda boleh menggunakannya untuk tujuan kecantikan juga!


1. Kecutkan Jerawat

Jika anda dapati ada jerawat yang 'berani' menunjukkan diri di wajah anda, segeralah lakukan kaedah ini. Ambil kapas muka dan rendamkan di dalam ubat kumur.

Tekapkan pada wajah perlahan-lahan. Biarkan seketika sebelum dibersihkan dengan air bersih.



2. Elakkan Bau Badan

Masalah bau badan adalah satu perkara serius. Kebanyakan orang akan merasa tidak selesa dan tidak yakin jika menghadapi masalah ini. Setiap kali mandi, gosokkan ubat kumur pada ketiak anda.

Kemudian bolehlah disabun dengan sabun seperti biasa. Bilas bersih dan hasilnya ketiak anda akan bebas bau peluh biarpun anda tidak memakai deodoran.


3. Hapuskan Bau Kaki

Mungkin masalah bau kaki ini tidak terlalu ketara seperti bau badan. Biarpun begitu, ia tetap membuatkan seseorang berasa kurang yakin. Apatah lagi jika mengenakan kasut jenis sarung, sudah tentu 'haruman' semerbak akan memenuhi segenap ruang sebaik saja kasut dibuka.

Oleh itu, rendamkan kaki di dalam air hangat yang dicampurkan dengan sedikit ubat kumur. Amalan ini bukan saja melegakan urat saraf kaki bahkan berkesan untuk menghilangkan masalah kaki berbau.


4. Atasi Masalah Kelemumur

Untuk mengatasi masalah kelemumur, campurkan sedikit ubat kumur dengan air bersih. Anda boleh menyimpan campuran ini di dalam botol dan semburkan pada kulit kepala sebelum mencuci rambut.

Kesan sejuk (menthol) yang ada dalam ubat kumur akan memberi kelegaan pada kulit kepala dan memudahkan kuping kelemumur tanggal ketika anda bersyampu.


5. Bersihkan Berus Gigi

Selain untuk tujuan kecantikan, ubat kumur juga boleh digunakan untuk membersihkan berus gigi. Mudah saja, rendamkan berus gigi anda di dalam air hangat yang dicampurkan dengan beberapa titis ubat kumur. Biarkan seketika sebelum anda bilas dengan air bersih.

Cara ini berkesan untuk membersihkan kotoran atau bakteria yang mungkin melekat pada berus gigi dan tidak dapat ditanggalkan sekadar menggunakan air bersih. Kaedah ini juga boleh anda gunakan untuk membersihkan berus solekan mahupun sikat rambut.



Selamat mencuba !

No comments:

Post a Comment